Menteri Besar Perak, Dato Seri Saarani Mohamad menyarankan agar kempen PRU-15 perlu memfokuskan kepada strategi membawa pengundi putih keluar mengundi, memandangkan ia mampu menentukan kalah dan menang parti Barisan Nasional (BN)
“Berdasarkan kepada kajian sikap, BN Perak menerima kekalahan PRU 2018 adalah faktor jurang perbezaan undi yang sememangnya mampu diisi oleh undi-undi pengundi putih.
“Sebagai contohnya DUN Chenderiang yang kalah majoriti -39 kepada BERSATU, sedangkan sejumlah 2,546 pengundi putih tidak keluar mengundi. Ia jumlah yang banyak, yang mampu merubah keadaan. Lantaran itu, saya memikirkan kali ini kita boleh menang jika menggunakan strategi menarik pengundi putih keluar”
Saarani bercakap ketika Majlis Pelancaran Jentera Barisan Nasional PRU-15 di Teluk Intan, pagi tadi. Majlis ini telah dihadiri lebih 1000 ahli parti UMNO, MCA, dan MIC. Turut hadir, Pengerusi MCA Perak, Datuk Dr Mah Hang Soon dan Naib Presiden MIC Kebangsaan Dato T Murugiah, yang dikhabarkan sebagai calon bertanding Parlimen Teluk Intan PRU-15.
Menurut Saarani lagi, Barisan Nasional memiliki keyakinan namun tidak boleh sesekali mendabik dada, malah perlu berusaha dengan lebih keras demi mengecap kejayaan terbesar dalam PRU kali ini.
“Sebagaimana kita maklum, rakyat dah buat pilihan yang salah dalam PRU pada tahun 2018, memandangkan kepimpinan selepas itu kucar-kacir dan tiada hala tuju. Jadi inilah masanya kita buktikan, BN mampu menang majoriti kali ini jika strategi dan kempen berjalan dengan baik”
Dalam majlis itu, Saarani turut mempamerkan jadual jangkaan tarikh PRU-15 dan statistik pengundi, dan tatacara membuang undi agar pengundi menjalankan amanah dan tanggungjawab dengan baik.