KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Kerja Raya dan Presiden MIC, Tun Dr S Samy Vellu meninggal dunia awal pagi tadi.
Difahamkan bekas Presiden MIC itu meninggal dunia di kediamannya di ibu negara pada usia 86 tahun.
Perkara itu disahkan oleh Naib Presiden MIC, Dato T Murugiah di laman sosial rasmi beliau yang turut menzahirkan rasa dukacita atas kehilangan ahli politik yang cukup dihormati.
“Pemergian mendiang amat dirasai oleh seluruh negara mengenangkan jasa yang pernah ditabur sepanjang berkhidmat sebagai Menteri Kabinet dan mentabdir negara. Semoga ahli keluarga tabah dengan kehilangan ini dan semoga rohnya bersemadi dengan tenang”
Samy Vellu menerajui MIC selama 31 tahun bermula 1979 hingga 2010.
Beliau juga antara menteri Kabinet paling lama berkhidmat, iaitu selama 29 tahun.
Beliau dilantik sebagai Menteri Kerja Raya daripada 1983 hingga 1989 dan 1995 hingga 2008, selain menjadi Ahli Parlimen Sungai Siput bermula 1974 hingga 2008.