Kuala Lumpur – Naib Presiden MIC, Dato T Murugiah memohon agar pemain badminton legenda negara, Roslin dan Hafiz Hashim dianugerahkan pingat jasa yang membawa gelaran Datuk, mengenangkan jasa yang pernah dicurah mengharumkan nama negara di persada dunia.
“Nama Roslin dan Hafiz Hashim cukup popular dalam arena sukan badminton, malah mereka pernah menjulang beberapa pingat kejohanan sukan badminton dunia, kenapa sehingga kini, tiada gelaran Datuk diberikan? mereka berdua juga sudah lama berada di dalam arena sukan ini, saya berpendapat sudah sampai masanya mereka disanjung, malah sehingga kini mereka masih berbakti di gelanggang” katanya kepada pemberita hari ini.
Menurut Dato Murugiah lagi, pencapaian atlet sebegini diharapkan menjadi contoh terbaik kepada generasi muda dan kedudukan mereka seharusnya dijulang dengan lebih tinggi meskipun penyertaan di arena gelanggang sudah berakhir.
“Saya melihat dari sudut apresiasi kepada atlet-atlet legenda, bukan sahaja kepada dua nama besar ini. Dahulu mereka lincah di gelanggang membawa nama negara, kini, tugas mereka belum berakhir. Meskipun sudah “gantung raket”, namun mereka terus mencurahkan keringat dan bakti dan melatih pula pelapis jaguh sukan badminton negara.
“Jasa mereka lebih besar jika nak dibandingkan dengan sebahagian “Datuk” yang memperoleh pangkat, namun tidak membawa impak yang besar atau kesan kepada nama dan jenama negara.
“Saya turut memohon Kementerian Belia Dan Sukan agar mengangkat kedudukan pemain badminton legenda negara seperti Roslin dan Hafiz ke tahap yang tinggi, melalui penganugerahan pingat jasa. Sukan badminton dan Malaysia cukup sinonim, malah kita semua pernah bersatu dan bersorak nama mereka, beri sokongan di hadapan televisyen setiap kali Malaysia berjaya melangkah ke gelanggang akhir” tambahnya lagi.
Roslin dan Hafiz Hashim merupakan antara pemain badminton adik beradik terbaik yang pernah dilahirkan. Anak jati Kota Bharu, Kelantan ini pernah mencatat sejarah kemenangan besar dunia. Antaranya Roslin yang pernah menggengam emas sukan SEA, beberapa kali Juara perseorangan terbuka dan Grand Prix Dunia, Naib Juara Piala Thomas, selain pernah dinobat sebagai pemain nombor 1 dunia ranking Persekutuan Badminton Antarabangsa (IBF).
Manakala pencapaian adiknya, Hafiz Hashim juga bukan calang-calang. Beliau pernah menjulang juara All England pada tahun 2003, dan menggondol beberapa kali kejuaraan terbuka di seluruh dunia.