KUALA LUMPUR: Seorang Ahli Parlimen Umno menggelar Dr Mahathir Mohamad “bapa loncat” kerana tidak berpuas hati dengan kenyataan bekas perdana menteri itu yang mencadangkan keseluruhan parti dibenarkan melompat untuk membentuk kerajaan stabil.
Abdul Azeez Abdul Rahim yang juga merupakan Ahli Parlimen BN Baling merujuk cadangan Mahathir yang mahu “lompat” membabitkan keseluruhan parti dibenarkan, dengan syarat mendapat restu tertinggi parti terlebih dulu.
“Semalam, Langkawi (Mahathir) bangun bahas minta lagi dia orang loncat. Kalau esok ada pilihan raya, kita kena loncat untuk tubuhkan kerajaan demi kestabilan.
“Langkawi ialah ‘bapa loncat’. Daripada Umno, duduk dalam Umno jadi perdana menteri dan akhirnya dia marah dekat beberapa orang, apa berlaku masuk Bersatu jadi pengerusi. Lepas itu tipu, khianati kawan-kawan dalam Bersatu dan masuk Pejuang,” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau berkata demikian ketika membahas Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti.
Sementara itu, Azeez mencadangkan tindakan diambil terhadap seluruh kepimpinan tertinggi parti yang menerima katak politik, termasuk presidennya, dengan mengosongkan kerusi mereka sebagai Ahli Parlimen atau ADUN. Katanya, tindakan itu perlu bagi mengelakkan wakil rakyat melompat parti.
Beliau turut mencadangkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) membatalkan pendaftaran sesebuah parti yang menerima katak politik.
Dewan Rakyat kecoh apabila Azeez mendakwa pembangkang takut menegur Mahathir yang dikatakan menjadi punca kerajaan tidak stabil ketika ini. Katanya, Mahathir bersalah kerana melepaskan jawatan perdana menteri sehingga menyebabkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ditubuhkan.
“Saya hairan sekali tidak siapa tegur Dr M kerana kesilapan khianati rakyat,” katanya.
Bagaimanapun, beberapa Ahli Dewan Rakyat kemudian bangkit membidas kenyataan Azeez dan menyifatkan kenyataan itu tidak berasas diputar belit.
Di akhir penggulungan, Azeez menyifatkan 61 tahun BN mentadbir negara beri pelbagai manfaat yang dinikmati rakyat sebelum berdepan dengan pelbagai kerumitan sebaik tampok kepimpinan bertukar tangan dalam PRU-14. Menurutnya lagi, mandat yang diberi rakyat musnah apabila kabinet PH mula berpecah-belah, tidak bersatu, dan jalinan persahabatan yang tidak ‘tulen’.