MANILA: Ferdinand “Bongbong” Marcos Jr yang juga anak lelaki mendiang diktator Filipina, Ferdinand Marcos mengangkat sumpah sebagai Presiden Filipina yang baharu di Muzium Negara di bandar raya ini, hari ini.
Marcos Jr, 64, memenangi pilihan raya bulan lalu selepas memperoleh kemenangan terbesar sejak bapanya digulingkan oleh pemberontakan popular pada 1986.
Beliau menggantikan Rodrigo Duterte yang terkenal dengan kempen memerangi dadah sehingga menyebabkan ribuan pengedar dadah mati dibunuh di negara itu.
Lebih 15,000 anggota polis, tentera dan pengawal pantai sudah dikerahkan di seluruh ibu negara untuk perasmian itu.
Majlis angkat sumpah itu diadakan beberapa hari selepas Mahkamah Agung menolak percubaan terakhir untuk membuat Marcos Jr hilang kelayakan daripada pilihan raya dan menghalangnya daripada memegang jawatan presiden.
Memandangkan kenaikan harga menghimpit ekonomi yang telah dilanda COVID-19, Marcos Jr menjadikan usaha menangani inflasi, meningkatkan pertumbuhan dan meningkatkan pengeluaran makanan sebagai keutamaannya.
Beliau turut mengambil langkah drastik dengan melantik dirinya sebagai Menteri Pertanian untuk mengetuai baik pulih sektor berkenaan yang dilanda masalah selain berjanji untuk mempertahankan hak Filipina ke atas Laut China Selatan yang dipertikaikan termasuk yang dituntut oleh Beijing.
Penampilan Marcos Jr, yang kelihatan lebih sopan berbanding Duterte, juga berjanji untuk ‘sentiasa berusaha untuk mencapai kesempurnaan’ dalam menguruskan kerajaan termasuk memulihkan sosio-ekonomi negara itu.
Sejak berada dalam perkhidmatan awam selama lebih 25 tahun, Marcos Jr sudah mencatat perjalanan kerjaya yang luar biasa dalam kerajaan, selepas memegang pelbagai jawatan dalam cabang eksekutif dan legislatif di Filipina.
Ketika kecil, Marcos Jr mendapatkan pendidikan awal tadika dan sekolah rendah masing-masing di Institucion Teresiana dan La Salle Greenhillsbdi Manila.
Disebabkan ibu bapanya mahu beliau membesar secara merendah diri tanpa dipengaruhi kedudukan keluarga, Marcos Jr dihantar ke England di mana beliau belajar di gereja Benedictine, Worth School.
Selepas itu, beliau melanjutkan pengajian dengan memperoleh Diploma Khas Pengajian Sosial dari Universiti Oxford di England.
Disebabkan hasratnya untuk terus belajar, Marcos Jr melanjutkan pengajian dalam ijazah Sarjana Pengurusan Perniagaan di Pusat Pengajian Perniagaan Wharton di Universiti Pennsylvania di Philadelphia, Amerika Syarikat (AS).
Selepas keluarganya kembali daripada buangan pada 1992, Bongbong berkhidmat sebagai anggota kongres di Daerah Kedua Ilocos Norte, dengan antara lain beliau menggubal undang-undang bagi mewujudkan Suruhanjaya Belia Filipina.
Beliau juga memainkan peranan penting memperjuangkan gerakan koperasi dengan menggunakan kebanyakan Dana Pembangunan Luar Bandar (CDF) untuk menguruskan koperasi untuk guru dan petani di wilayah pentadbirannya.
Antara 1998 hingga 2007, Marcos Jr berkhidmat sebagai Gabenor Ilocos Norte selama tiga penggal, di mana beliau mengubah kawasan itu menjadi wilayah kelas pertama yang diiktiraf antarabangsa, dengan mengetengahkan destinasi semula jadi dan kebudayaan.
Selain itu, Ilocos Norte juga menjadi perintis teknologi tenaga angin, yang sehingga kini menjadi tenaga alternatif bukan saja untuk wilayah itu, malah turut digunakan di beberapa kawasan di utara Luzon.
Pada 2007, beliau sekali lagi dipilih sebagai anggota Kongres dan dipertanggungjawabkan sebagai Timbalan Ketua Minoriti di Dewan Perwakilan Filipina, dan beliau antara individu yang turut menggubal Undang-Undang Garis Asas Kepulauan Filipina.
Pada 2010, beliau menang kerusi dalam Senat Filipina selepas berada di kedudukan ketujuh. Ketika itu, beliau mempengerusikan Jawatankuasa Senat bagi Kerajaan Tempatan dan Jawatankuasa bagi Kerja Awam.
Beliau berkahwin dengan peguam, Louise Araneta-Marcos dan memiliki tiga anak iaitu Sandro, Simon dan Vincent. – AFP