KUALA LUMPUR, Sept 11: Lebih 38 juta dos vaksin COVID-19 sudah diberikan setakat semalam.
Jumlah itu merangkumi pemberian vaksin dos tunggal dan dua dos menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) yang dilancarkan 24 Februari lalu.
Menurut infografik di media sosial Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV), sebanyak 16.85 juta individu sudah lengkap divaksinasi.
Jumlah itu merangkumi 72 peratus populasi dewasa atau 51.6 peratus populasi keseluruhan penduduk Malaysia.

Sebanyak 21.18 juta lagi menerima sekurang-kurangnya satu dos yang merangkumi 90.5 peratus populasi dewasa di negara ini.
Kadar vaksinasi tertinggi dicatatkan di Lembah Klang dengan 99.9 peratus populasi dewasa atau 6.15 juta individu lengkap divaksin.
Jumlah penerima sekurang-kurangnya satu dos di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya pula sebanyak 113.4 peratus populasi dewasa atau 6.98 juta orang.
Kadar vaksinasi lengkap di Sabah pula meningkat kepada 48.6 peratus populasi dewasa.

Semalam, Sabah merekodkan 21,447 pemberian vaksin untuk dos lengkap manakala dos pertama seramai 8,831 menerimanya.
Pemberian vaksin di Sabah termasuk vaksin dos tunggal CanSino yang disasarkan untuk kawasan pedalaman termasuk di pulau-pulau timur negeri itu.
Keseluruhannya sebanyak 287,059 dos diberikan di seluruh negara semalam.
Kadar vaksinasi di enam negeri termasuk Sabah, Kedah dan Kelantan disasarkan untuk ditingkatkan dalam bulan ini.
Ini untuk memastikan mencapai sasaran 60 peratus populasi dewasa lengkap divaksin sebelum akhir bulan ini.