KUALA LUMPUR, Ogos 18: Tindakan parti-parti politik yang bermesyuarat semalam bagi membincangkan calon Perdana Menteri dan memutuskan secara bersama dilihat sebagai bercanggah dengan titah Yang di Pertuan Agong.
Ini adalah kerana Speaker Dewan Rakyat Datuk Azahar Harun secara jelas di dalam surat beliau kepada semua Ahli Parlimen semalam telah meminta surat akuan diserahkan secara langsung kepada Istana Negara bagi pertimbangan Tuanku Agong, dan surat akuan tersebut hendaklah dirahsiakan sehingga Tuanku Agong mengambil keputusan perlantikan PM berkenaan.
Secara langsung arahan ini menekankan bahawa cadangan calon PM adalah berdasarkan pendirian dan pilihan Ahli-Ahli Parlimen secara individu, bukannya berdasarkan arahan parti masing-masing.

Tindakan parti-parti politik termasuk Barisan Nasional dan Pakatan Harapan mengumpul wakil rakyat masing-masing bagi membincangkan pemilihan calon PM dan menandatangani surat akuan tersebut secara bersama menyekat suara dan pendirian mereka kerana mereka dipaksa akur kepada keputusan kepimpinan parti.
Walaupun dikatakan pendapat semua Ahli Parlimen diambil kira, namun sudah pasti hasrat seseorang Ahli Parlimen akan terbenam apabila mereka dipaksa berkumpul bersama bagi mengambil keputusan secara kolektif.
Blok Barisan Nasional telah menamakan Naib Presiden UMNO Dato’ Seri Ismail Sabri sebagai calon PM, manakala blok Pakatan Harapan pula menamakan Presiden PKR Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Warisan Dato’ Seri Shafie Apdal sebagai calon PM mereka.
Teka-teki yang timbul sekarang adalah jika Ahli-Ahli Parlimen akan berani tampil dengan pendirian peribadi mereka berdasarkan pertimbangan sewajarnya, ataupun akur kepada keputusan parti yang mungkin tidak sehaluan dengan mereka, lebih-lebih lagi yang bercanggah dengan titah Agong.