KUALA LUMPUR, Ogos 17: Susulan peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dan keruntuhan kerajaan Perikatan Nasional (PN), Istana Negara telah memanggil pemimpin parti politik utama untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong hari ini.
Sumber dalaman memberitahu bahawa perjumpaan hari ini bukan bagi Tuanku Agong meminta parti-parti politik menamakan calon Perdana Menteri ataupun membuktikan sokongan majoriti calon yang dinamakan mereka, sebaliknya bagi mencapai konsensus bersama agar mereka akur kepada keputusan Majlis Raja-Raja yang dijangka akan bersidang pada Jumaat ini.
Difahamkan Tuanku Agong akan mencadangkan kerajaan interim yang akan diketuai oleh calon neutral bersama penubuhan Majlis Pemulihan Negara, dengan tanggungjawab mutlak bagi memulihkan negara dari impak pandemik Covid-19, Baginda juga dijangka akan memohon gencatan politik dari semua pihak sehingga matlamat tersebut tercapai, dan mengembalikan mandat pemilihan kerajaan baru kepada rakyat melalui Pilihan Raya Umum di dalam tempoh 6 hingga 12 bulan.
Konsensus tersebut dijangka akan bakal dipersembahkan Tuanku Agong kepada Majlis Raja-Raja untuk diperkenankan bersama.
Hari ini Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Harun telah mengutus surat kepada semua Ahli Parlimen agar masing-masing menamakan seorang Ahli Parlimen pilihan mereka sebagai calon Perdana Menteri sebelum esok untuk pengamatan dan pertimbangan Tuanku Agong. Menurut sumber, prosedur ini adalah bagi membolehkan baginda menentukan ketua kerajaan baru mengikut perlembagaan.
Pelbagai spekulasi menyelubungi arena politik negara, dan rakyat berharap ianya dapat diselesaikan segera oleh Institusi Di Raja negara agar agenda pemulihan negara tidak terganggu akibat sandiwara politik semasa.