KUALA LUMPUR, Ogos 15: Presiden MIC Tan Sri SA Vigneswaran berkata partinya menghormati keputusan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berundur kerana ianya tindakan wajar apabila kehilangan majoriti di Parlimen.
“Ada caranya PM boleh membuktikan majoriti di dalam ataupun di luar Parlimen. Muhyiddin telah memaklumkan melalui media perdana bahawa beliau tiada majoriti dan mempelawa parti pembangkang untuk kerjasama secara bipartisan, dan ianya telahpun ditolak oleh semua parti pembangkang. Maka, tiada keperluan bagi membuktikan majoriti secara konvensional di dalam situasi ini,” kata Vigneswaran.
Menurut Vigneswaran, beliau telah bertemu Muhyiddin semalam bagi membincangkan hala tuju kerajaan Perikatan Nasional, dan Muhyiddin telah memberi indikasi bahawa beliau akan berundur. Muhyiddin menyatakan beliau telah mengusahakan yang terbaik demi kesejahteraan rakyat, tetapi akan berundur secara terhormat kerana cadangannya gagal meraih sokongan pembangkang.
Tambah Vigneswaran, kini terpulang kepada Yang di Pertuan Agong untuk menyelesaikan kemelut politik negara berdasarkan perlembagaan negara.
Mengulas mengenai kedudukan MIC, Vigneswaran berkata partinya kekal setia bersama Barisan Nasional dan tiada sebarang perubahan di dalam pendirian tersebut.
“MIC masih di dalam Barisan Nasional. Sebarang tindakan kami sepanjang krisis politik negara ini adalah berteraskan kepada apa yang penting buat rakyat dan negara,” ulas Vigneswaran.